Alhamdulillah kerana dengan izin Allah, kita
kini telah pun melangkah ke fasa kedua dalam bulan ramadhan yg penuh barakah
ini. Apa khabar semangat ramadhan kita? Apa khabar azam ramadhan kita? Ayuh
kita lihat kembali checklist ramadhan kita, masih bertandakah? Masih
terlaksanakah? Masih mampukah kita
untuk memenangi perlumbaan ini dan
merebut piala taqwa di saat berakhirnya bulan ramadhan tahun ini? InsyaAllah, sama-sama kita istiqamah dalam
beribadah!
Entry kali ini ingin menceritakan beberapa
peristiwa-peristiwa penting yang berlaku
di dalam bulan ramadhan.
1) Perang Badar
Perang
ini berlaku pada hari Jumaat, 17 Ramadhan tahun ke-2H. Perang pertama dalam sejarah Islam ini menyaksikan kemenangan 313
orang tentera Islam yang berjaya menewaskan 1000 org tentera musyrikin Mekah. Tahun
ke-2H juga merupakan permulaan puasa bagi umat Islam.
2) Penaklukan Sepanyol
Wakil Khilafah Ummayyah di Utara Afrika , Musa
ibn Husair bersama-sama dengan panglima tentera Islam, Tariq bin Ziyad yang mengetuai 12 000 tentera Islam
berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 yang diketuai sendiri oleh Raja
Rhoderic, pemerintah Sepanyol pada tahun 92H. Antara peristiwa yang menarik ialah apabila Tariq bin Ziyad mengarahkan
tenteranya membakarkan kapal- kapal perang mereka sebelum bertempur dengan
tentera Raja Rhoderic.
Beliau
berkata, ”Sesungguhnya, syurga Allah
terbentang luas di hadapan kita, dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu
semua hanya ada dua pilihan, sama ada mati lemas, ataupun syahid”.
Tentera kuffar bukan hanya mampu dikalahkan
malah keseluruhan Sepanyol mampu ditakluk. Di sinilah bermulanya zaman keemasan
Islam di Andalus, dengan Islam menguasainya selama 700 tahun.
3) Kemenangan orang Islam dalam Perang Salib
Panglima tentera Islam, Salahuddin
Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh
tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin
menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin
menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian
tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng
Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan tahun
584H.
Semoga kita semua dapat sama-sama mengambil
iktibar dan terus menyemarakkan semangat ramadhan kita. Jangan
menjadikan puasa sebagai alasan untuk kita bermalas-malasan. Manfaatkan ramadhan yang masih berbaki dengan
sebaik-baiknya. Ayuh! Sama-sama kita berusaha untuk mendapatkan redha Allah.
“ Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (At-Taubah 9:41)
Al-Khansa’ Unveiled
No comments:
Post a Comment